suria

Polis Tumpas Sindiket Pengedaran Dadah di Kelantan

KOTA BAHARU: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di Kelantan dan Terengganu melalui Ops Cantas Narkotik dalam dua serbuan di sini, Rabu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan Supt Amran Ramli berkata polis merampas sejumlah dadah dan menyita wang tunai, barang kemas serta kenderaan.

Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Kampung Kulim, Wakaf Baharu di sini pada pukul 11 malam, polis menahan tiga lelaki berumur antara 32 dan 48 tahun bersama 36 gram syabu, 40 biji eramin dan 30 biji pil kuda yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM10,000.

"Mereka dipercayai pengedar dadah yang aktif di sekitar negeri ini. Ketiga-tiganya direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini.

Amran berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 12(2) akta yang sama.

Beliau berkata dalam serbuan kedua di sebuah rumah di Taman Puspa Uda, Telipot di sini pada pukul 11.15 malam, polis menahan sepasang suami isteri dan dua lelaki bersama satu paket berisi syabu yang dianggarkan bernilai RM1,250.

Beliau berkata semasa serbuan dilakukan, keempat-empat suspek yang berumur antara 16 dan 39 tahun yang disyaki aktif mengedar di Kelantan dan Terengganu sedang mengira pelbagai mata wang asing.

"Kita turut merampas tiga buah kenderaan, empat buah motosikal, tiga utas jam tangan berjenama, pelbagai barang kemas serta satu panah bersama 11 anak panah," katanya.

Amran berkata keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM815,850 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 32 akta yang sama.

Beliau berkata keempat-empat suspek direman selama empat hari bermula hari ini. - BERNAMA

Artikel Lain