suria

Polis Siap Sedia Hadapi PRK Sungai Limau - Khalid

KEPALA BATAS: Polis akan menempatkan bilangan anggota dan kelengkapan yang mencukupi bagi menjaga keselamatan dan keamanan sepanjang proses pilihan raya kecil Sungai Limau bulan depan, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Saya akan turun ke Kedah Sabtu ini untuk melihat persediaan di sana...saya bagi jaminan jumlah anggota polis yang bertugas sepanjang pilihan raya kecil itu mencukupi untuk menjaga keselamatan dan keamanan di Sungai Limau," katanya kepada pemberita, di sini, Khamis. Beliau berkata pihaknya juga bersedia menghadapi segala kemungkinan semasa pilihan raya kecil itu kerana ia bukan pertama kali diadakan.

Khalid ditemui selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada Atiqah Mohd Rosdi, 29, balu Allahyarham Sjn Zal-Azri Abdul Somad yang terkorban ketika menjalankan tugas di Melaka baru-baru ini, di Taman Bertam Indah, di sini.

Khalid turut menyerahkan sumbangan daripada Tabung Perwira, wang insurans dan sijil kenaikan pangkat Zal-Azri kepada Atiqah.

Khalid berkata PDRM berharap semua pihak termasuk parti yang bertanding pada pilihan raya kecil itu mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan terutama ketika berkempen.

Ditanya sama ada Sungai Limau merupakan kawasan panas, beliau berkata: "Semua kawasan bagi kami sama...boleh jadi panas dan sebaliknya kerana semua orang memberikan tumpuan pada satu tempat...jadi kami perlu bersedia. Kami tak boleh ambil ringan, persediaan rapi perlu dibuat," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 23 Oktober manakala tarikh pengundian ialah 4 November.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai kosong berikutan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis. - BERNAMA

Artikel Lain