suria

Penjenayah Ditembak Mati Di Perak dan KL Bukan Geng Sama - KPN

KEPALA BATAS: Dua geng penjenayah yang ditembak mati di Ipoh hari ini dan di Plaza Tol Sentul Pasar, Kuala Lumpur semalam tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain serta bukan daripada kumpulan yang sama.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata berdasarkan siasatan awal, tiga lelaki yang ditembak mati di Ipoh merupakan anggota geng kongsi gelap yang aktif menyamun kedai emas di sekitar Perak.

Beliau berkata polis percaya kumpulan itu terlibat dalam sekurang-kurangnya tiga kes samun di kedai emas di negeri itu. "Manakala penjenayah yang ditembak di Kuala Lumpur semalam adalah geng yang menyamun orang yang baharu keluar daripada bank. "Dua kumpulan itu tiada kaitan, bagaimanapun siasatan lanjut masih kita dijalankan," katanya kepada pemberita semasa melawat dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Sarjan Zal-Azri Abdul Somad yang terkorban ketika bertugas dalam Ops Cantas di Melaka baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi di Perak, polis menembak mati tiga penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di Bandar Meru Raya, dekat Jelapang.

Sementara seorang lagi suspek yang dipercayai mengalami kecederaan akibat kejadian itu berjaya melarikan diri.

Semalam pula, polis menembak mati tiga lelaki berhampiran Plaza Tol Sentul Pasar di Kuala Lumpur, selepas mereka menyamun seorang wanita di luar sebuah bank di Bayu Perdana, Klang.

Ketiga-tiga mereka yang menaiki sebuah kereta Proton Wira diekori sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Selangor sejak pukul 11.30 pagi selepas mereka melarikan wang tunai lebih RM2,000 daripada wanita itu. -BERNAMA

Artikel Lain