suria

Peniaga Ikan Dihukum Penjara Tujuh Tahun Dan Lima Sebatan Atas Tuduhan Ragut

KUCHING: Seorang peniaga ikan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan meragut yang dilakukannya bulan lalu.

Mohd Shariman Alwi, 30, yang merupakan tertuduh dalam kes rompak kediaman Mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya di Petra Jaya, Ogos lalu, didakwa meragut sebuah beg tangan serta seunit telefon bimbit jenama Nokia milik Normayati Mohd Rajali, 19, di sebuah hentian bas di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Petra Jaya, Jalan Semarak di sini pada 3 petang, 9 September lalu.

Dia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Timothy Finlayson Joel.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, di mahkamah berasingan, Mohd Shariman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merompak kediaman Mufti Perlis Ogos lalu.

Mohd Shariman, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Carisa, Petra Jaya, di sini pada 4.30 pagi, 16 Ogos lepas.

Tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak pelbagai barangan termasuk barangan kemas bernilai RM35,000, wang tunai RM6,500 dan beberapa gajet elektronik termasuk dua unit telefon bimbit yang kesemuanya bernilai RM5,000.

Mohd Shariman didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan rompak berkumpulan dan bersenjata.

Hakim Nixon Kennedy Kumbang menetapkan tarikh perbicaraan pada 25 November ini. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - BERNAMA

Artikel Lain