suria

PAS Umum Calon PRK Sungai Limau 21 Oktober

KUALA LUMPUR: PAS akan mengumumkan calon yang akan mewakili parti itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 21 Oktober ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu kini sedang membuat saringan akhir lapan nama yang dikemukakan PAS negeri dan kawasan untuk diangkat sebagai calon.

"Kita sudah terima lapan nama untuk dipertimbangkan. Kesemua mereka adalah calon anak tempatan.

"Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang yang diyakini dapat menyambung tugas Allahyarham Tan Sri Azizan (Abdul Razak)," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di sini, Khamis.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Azizan memegang kerusi itu selama lima penggal sejak 1995.

Beliau mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya umum ke-13 Mei lepas dengan memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya daripada Barisan Nasional (BN), Mohd Fazillah Mohd Ali dengan majoriti 2,774 undi.

Artikel Lain