suria

Mustapa Kecewa Masih Ada Dakwaan Calon Guna Politik Wang

KOTA BAHARU: Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed kecewa kerana masih terdapat laporan yang mendakwa kononnya ada calon dalam pemilihan Umno kali ini mengamalkan politik wang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata walaupun syarat dan peraturan pemilihan tidak membenarkan sama sekali politik wang, namun ia sukar dihapuskan.

"Yang agak membimbangkan adalah politik wang. Dalam laporan yang kita terima, walaupun tidak secara bertulis, menyatakan dalam sistem baharu ini politik wang masih lagi berlaku. Demokrasi itu betullah, tetapi gejala politik wang masih tidak berjaya dihapuskan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Mustapa berkata gejala politik wang itu perlu dibanteras segera kerana ia boleh merosakkan parti jika dibiarkan.

Sehubungan itu Mustapa mahu perwakilan memikirkan secara waras dalam membuat pemilihan nanti dan memilih calon yang boleh membawa parti ke era yang lebih cemerlang dan diterima semua pihak.

"Saya tidak menuduh sesiapa. Mungkin ada pihak segan untuk membuat laporan berhubung gejala ini yang akhirnya menyebabkan ia sukar dibendung," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain