suria

Kemenangan BN Dalam PRK Sungai Limau Keutamaan Mukhriz

KOTA KINABALU: Meskipun terbabit dalam persaingan sengit bagi merebut jawatan naib presiden Umno pada pemilihan parti 19 Oktober ini, Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir tetap memberi keutamaan kepada tanggungjawab mengemudi Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Beliau berkata pilihan raya kecil itu amat penting memandangkan ia merupakan pilihan raya kecil pertama di Kedah yang diketuainya bagi memastikan kemenangan calon BN.

Mukhriz berkata tumpuan yang diberikan kepada pilihan raya kecil DUN Sungai Limau itu akan mengehadkan masanya untuk menjelajah ke seluruh negara bagi meraih sokongan menjelang pemilihan parti itu.

"Nampaknya saya tidak mempunyai banyak masa untuk menemui penyokong peringkat bahagian. Selain pemilihan Umno, saya juga mengendalikan jentera pilihan raya kecil di Kedah.

"Malangnya pilihan raya kecil ini bakal diadakan sebaik sahaja pemilihan Umno selesai pada 19 Oktober ini. Apapun, ini adalah tanggungjawab kita untuk memastikan pilihan raya kecil ini diberikan keutamaan melebihi persediaan pemilihan parti," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pilihan raya kecil DU NSungai Limau pada 4 November manakala hari penamaan calon pula pada 23 Oktober.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak di bawah Parlimen Jerai diisytihar kosong susulan kematian Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah, akibat komplikasi jantung serta jangkitan kencing manis.

Mengenai lawatannya ke beberapa bahagian Umno di Sabah termasuk Sepanggar, Kudat dan Kota Marudu, Mukhriz berkata sambutan amat meriah.

"Saya juga telah menghadiri sesi pengenalan calon yang dihadiri sendiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman di Kota Kinabalu (petang semalam) dan petang ini saya akan ke Sandakan sebelum berlepas ke pulang. "Sabah sebuah negeri yang penting, dari segi bilangan bahagiannya yang kedua terbesar seluruh Malaysia. Siapa pun yang ingin bertanding peringkat bahagian wajib melawat Sabah, siapa tidak datang 'nahas'," katanya.

Mukhriz berkata Sabah juga terbukti sebagai simpanan tetap BN dalam mana-mana pilihan raya dan "harapan saya dengan kunjungan ini terus dapat sokongan daripada rakan-rakan di Sabah".

"Sama seperti sewaktu saya tanding exco Pemuda pada tahun 2004, ketua Pemuda pada 2009 (walaupun kecundang) dan kali ini cuba-cuba tanding naib presiden. "Selalunya apabila saya ke Sabah saya gambarkan lawatan... hospitaliti yang begitu baik. Memang sudah jadi budaya orang Sabah terima tetamu begitu ramah dan berhemah, kalau itu boleh saya tafsirkan sebagai sokongan, Insya-Allah saya harap di Sabah saya dapat undi daripada beberapa bahagian di sini," katanya.

Ditanya wawasannya untuk Sabah sekiranya terpilih menjadi seorang daripada naib presiden Umno, beliau berkata sebagai menteri besar, beliau terlibat dalam banyak urusan penyelesaian masalah di peringkat akar umbi termasuk masalah perumahan, jalan raya, pembasmian kemiskinan, peluang pekerjaan dan perniagaan.

"Isu itu penting yang tidak terhad hanya beberapa negeri sahaja, dan Sabah pun anggap perkara ini amat mustahak dan ia sedikit berbeza dengan kerja penggubalan dasar. "Penggubalan dasar ini dilakukan di peringkat Persekutuan tetapi kerja menteri besar ini memastikan dasar itu dilaksanakan sebaik mungkin. Biasa kita dengar dasarnya baik, sistem penyampaiannya mempunyai masalah. Saya rasa itu suatu yang saya boleh sumbangkan untuk Sabah juga," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain