suria

Bekas Ejen Insurans Dituduh Tipu Penganalisis Syarikat Telekomunikasi

KUALA LUMPUR: Seorang bekas ejen insurans mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menipu seorang penganalisis syarikat telekomunikasi berhubung pembayaran pinjaman perumahan, dua tahun lalu.

Lim Cho Yaw, 32, didakwa menipu Farid Mohamed Sani, 38, dengan memperdaya mangsa untuk mempercayai bahawa tertuduh akan membayar wang pinjaman perumahan mangsa kepada AIA Berhad.

Perbuatan tertuduh mendorong mangsa menyerahkan sekeping cek berjumlah RM76,611.49 kepada tertuduh, di Maybank Cawangan Kuala Lumpur City Centre, Lot C-21-C, Concourse, Suria Kuala Lumpur City Centre Suria di sini, pada 27 April 2011.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram iaitu melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram.

Dia didakwa melakukan transaksi mendepositkan jumlah wang itu (RM76,611.49) di dalam akaun Maybank miliknya pada keesokannya, di tempat yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan denda RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi mencadangkan wang jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua kes itu.

Peguam Ari Krishnan memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya yang kini bekerja sebagai jurujual berpendapatan RM2,000 sebulan dan masih bujang.

Bagaimanapun, Hakim Rosbiahanin Arifin membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua kes dan menetapkan 14 November untuk sebutan kes. - BERNAMA

Artikel Lain