suria

Audit Negara: Menteri Harus Bertanggungjawab - Dr Mahathir

KUALA LUMPUR: Menteri-menteri harus bertanggungjawab untuk apa yang berlaku dalam kementerian mereka, mengenai hasil semakan dan laporan Ketua Audit Negara, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Di Jepun, bila kapal terbang terhempas di landasan, menteri pengangkutan perlu meletakkan jawatan. Di Malaysia, jika kemalangan kapal terbang, itu bukan masalah saya.

"Saya berharap untuk melihat lebih banyak peletakan jawatan, saya meletak jawatan kerana saya gagal," katanya berjenaka, pada sidang akhbar selepas melawat kerja-kerja pembinaan dan terowong bawah tanah Mass Rapid Transit (MRT) Gamuda Lembah Klang di Cheras, Khamis.

Beliau juga berkata pejabat Peguam Negara perlu diperkukuhkan supaya ia sentiasa boleh memantau jabatan.

"Saya rasa perlu ada satu pasukan dari pejabat Peguam Negara yang boleh mengikuti untuk melihat jika pembetulan sedang dibuat atau tidak," katanya.

Beliau berkata, mengenal pasti kesilapan dan kemudian berharap orang lain akan membetulkan kesilapan mereka adalah tidak mencukupi.

"Di Malaysia, ia tidak berfungsi. Anda perlu sepanjang masa berdiri di belakang mereka, melihat dan mengawal dengan cemeti," katanya.

Sebanyak 15 kertas siasatan telah dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2012 berkaitan pembaziran dan salah guna dana kerajaan.

Artikel Lain