suria

Peningkatan Jumlah Kutipan Zakat Bukti Ekonomi Bumiputera Meningkat - Ahmad Husni

KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata peningkatan dalam jumlah pembayaran zakat secara tidak langsung akan membuktikan kejayaan ekonomi Bumiputera.

Katanya, kerajaan telah lama berusaha meningkatkan perkongsian Bumiputera dalam hasil pendapatan negara yang mana majoriti masyarakat Bumiputera adalah beragama Islam yang diwajibkan membayar zakat.

"Majoriti masyarakat Bumiputera adalah Muslim dan peningkatan jumlah kutipan zakat adalah bukti terbaik bahawa Program Memperkasa Ekonomi sedang menampakkan kejayaan dan menunjukkan kita sebagai model ekonomi negara Islam pada abad ke-21.

"Kita mengharapkan peningkatan yang tinggi dalam pembayaran zakat disumbangkan oleh individu dan syarikat-syarikat pada tahun-tahun akan datang," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar sebelum merasmikan Simposium Zakat Perniagaan Kebangsaan 2013, di sini, Selasa.

Ahmad Husni berkata sejak 30 tahun lalu kerajaan telah memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru bagi meningkatkan perkongsian Bumiputera dalam kekayaan negara kepada 30 peratus.

"Tetapi tidak mudah untuk mencapai sasaran dalam sasaran yang sering berubah, inilah sebabnya kerajaan memperkenalkan Program Memperkasa Ekonomi Bumiputera," katanya sambil berkata program tersebut adalah salah satu usaha transformasi ekonomi negara.

Ahmad Husni berkata, sebagai negara Islam, Kerajaan Persekutuan telah membuat beberapa ketetapan untuk pembayar zakat termasuklah mendapat rebat cukai pendapatan yang dinyatakan dalam Akta Cukai Pendapatan 1967, Seksyen 6A (3).

Tambahnya, kerajaan turut memberi perhatian terhadap zakat perniagaan menerusi pembentangan Bajet 2005.

Mengulas lanjut beliau berkata kerajaan menyasarkan peningkatan sebanyak 4.5 - 5 peratus pertumbuhan Keluaran Negara Kasar (GDP) bagi tahun ini yang turut akan menyaksikan pertumbuhan Pendapatan Negara Kasar (GNI).

"Menjelang 2020, yang mana kita berharap menjadi negara berpendapatan tinggi, dijangka GNI negara akan meningkat kepada RM1.7 trilion, peningkatan 90.0 peratus dari tahun lepas," katanya sambil berharap lebih banyak kutipan zakat dapat dipungut melalui hasil peningkatan pendapatan dan ekonomi negara.

Di Selangor, kutipan zakat meningkat 15 peratus pada 2012 berbanding 2011 dengan jumlah pengagihan sebanyak 89 peratus daripada jumlah keseluruhan kutipan zakat.

Zakat perniagaan merupakan kutipan kedua terbesar selepas zakat pendapatan iaitu sebanyak 84.93 juta pada tahun dan negeri yang sama.

Selangor menjadi negeri paling tinggi menerima pembayaran zakat pada tahun lepas diikuti Wilayah Persekutuan dan Johor.

Simposium Zakat Perniagaan 2013 selama sehari ini dianjurkan Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dengan kerjasama Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan (PPZWP), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Artikel Lain