suria

Masyarakat Bertamadun Tidak Cuai Jaga Kanak-Kanak; Norainee

KUALA LUMPUR: Kebergantungan kepada undang-undang dan peraturan semata-mata tidak cukup untuk menjamin keselamatan kanak-kanak kerana ia memerlukan semua pihak memainkan peranan masing-masing, kata isteri timbalan perdana menteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman.

Beliau menarik perhatian bahawa peranan melindungi kanak-kanak kini menjadi sebahagian daripada tanggungjawab sesebuah masyarakat bertamadun yang seharusnya memiliki nilai kemanusiaan tinggi dan pegangan agama.

Menurutnya, sikap membiar serta tidak ambil peduli dalam kalangan sesetengah anggota masyarakat turut menjadi penyumbang kepada kes jenayah terhadap kanak-kanak di negara ini.

"Perlu diingat bahawa membiar dan melindungi perbuatan jenayah terutama terhadap kanak-kanak merupakan satu kesalahan," katanya ketika berucap merasmikan Kempen Keselamatan Kanak-Kanak (Program 3K) anjuran Yayasan Wanita Islam Malaysia di sini Rabu.

Norainee menegaskan tiada sebab bagi mana-mana manusia yang waras untuk menyiksa, mendera dan menzalimi kanak-kanak.

"Sungguh sedih dan menyayat hati apabila saban hari membaca laporan di dada akhbar bagaimana kanak-kanak diperlakukan dengan kejam tanpa perikemanusiaan," kata Norainee pada majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Datuk Norani Mohd Hashim dan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh.

Beliau turut menekankan keperluan mengadakan kursus, latihan atau kempen berterusan mengenai tindakan yang perlu dilakukan masyarakat sekiranya mengesyaki berlaku perbuatan mendera kanak-kanak.

Norainee kemudiannya meluangkan masa beramah mesra dengan wira cilik Muhammad Aziem Hakimi Nor Azman, 9, yang mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan adiknya dalam satu kebakaran di Taman Serting Utama, Jempol, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Pelajar tahun tiga Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Serting itu berkata dia bertindak nekad selepas mendapati adiknya, Muhammad Adam Hariz, 6, tidak kelihatan ketika mereka sekeluarga menyelamatkan diri.

"Saya bersyukur adik saya selamat dan hari ini begitu bersejarah buat saya kerana dapat berjumpa Puan Sri Norainee," katanya merendah diri. - BERNAMA

Artikel Lain