suria

Malaysia Dijangka Jana RM168 Bilion Daripada Pelancongan Menjelang 2020

LOS ANGELES: Malaysia dijangka menjana RM168 bilion daripada ketibaan 36 juta pelancong disasarkan menjelang tahun 2020 dalam Pelan Transformasi Pelancongan Malaysia (MTTP), kata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata pelancongan menjana pendapatan tukaran asing kedua terbesar dan penyumbang ketujuh tertinggi kepada ekonomi, menyumbang RM47.2 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara tahun lepas.

Tahun lepas, Malaysia menerima 25 juta pelancong asing, "kukuh di tangga ke-10 destinasi pelancongan paling popular di dunia, menurut Pertubuhan Pelancongan Dunia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNWTO), dan di tempat ke-13 dari segi resit pelancongan antarabangsa iaitu sebanyak RM60.6 bilion".

"Kami menyasarkan pelancong golongan berada dan mengalu-alukan ketibaan ke hotel dan resort terbaik dan mewah baharu kami," kata Mohamed Nazri dalam ucapan kepada tetamu termasuk pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di beberapa universiti di barat Amerika ini dan rakyat Malaysia yang menetap di sini.

Beliau berkata tahun 2012 menyaksikan pembukaan pusat peranginan Gaya Island Resort di Sabah dan hotel Grand Hyatt di Kuala Lumpur.

"Untuk tahun-tahun akan datang, pelancong turut ditawarkan pilihan pelbagai hotel mewah berikutan lebih banyak akan dibuka termasuk St. Regis pada 2014, The Regent pada 2015, Four Seasons Place KL dan W Hotels pada 2016, dan hotel tujuh bintang Harrods Hotel KL pada 2018.

Mohamed Nazri berkata aktiviti beli-belah merupakan yang kedua tertinggi selepas penginapan dari segi perbelanjaan pelancong iaitu sebanyak RM18.6 bilion, meningkat 6.3 peratus daripada tahun sebelumnya dan 30.7 peratus daripada jumlah resit Malaysia.

Beliau berkata percutian spa dan kesihatan, bermain golf, perkahwinan dan bulan madu, beli-belah di kawasan bebas cukai dan pelancongan helikopter, antara acara disusun untuk pelancong tahun ini.

Disember 2011 menyaksikan pembukaan pusat beli-belah Premium Outlet Centre yang pertama di Asia Tenggara, yang mampu menjimatkan sehingga 65 peratus perbelanjaan, menawarkan lebih 80 kedai barangan berjenama, meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk dilawat, membeli-belah, menjamu selera dan berehat, katanya.

Mohamed Nazri juga berkata tiga acara tahunan Tourism Malaysia - Grand Prix 1Malaysia dari Mac hingga April, Karnival Jualan Mega 1Malaysia dari Jun hingga September dan Jualan Akhir Tahun 1Malaysia dari November hingga Januari telah menarik pengunjung dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata langkah Malaysia memberi pengecualian cukai sejak Januari 2011 terhadap barangan import tertentu kecuali kereta, barangan kaca, rokok, alkohol dan coklat, ditawarkan di seluruh negara dan bukan hanya di kawasan bebas cukai, turut meningkatkan populariti negara sebagai destinasi beli-belah.

Katanya selain menjadi bandar raya beli-belah keempat terbaik dunia selepas New York, Tokyo dan London dalam kajian rangkaian berita global CNN, Kuala Lumpur turut menduduki tempat kedua destinasi beli-belah terbaik di Asia Pasifik dalam kajian Globe Shopper Index.

"Forbes Online mengiktiraf Malaysia sebagai negara ke-10 paling mesra pelancong di dunia, manakala Pulau Perhentian Kecil di Terengganu, Pantai Juara di Pulau Tioman di Pahang dan Tanjung Rhu di Langkawi di Kedah tersenarai dalam "100 Pantai Terbaik Dunia" CNN," katanya.

Mohamed Nazri turut mengingatkan pelajar di sini mengenai peranan mereka sebagai "duta pelancongan Malaysia" di barat AS dan dalam membantu mempromosikan "Program Rumah Keduaku Malaysia" (MM2H) di universiti mereka.

Beliau berkata Malaysia menduduki tempat ketiga dalam indeks tempat persaraan pilihan tahunan global 2013 "Top Retirement Haven" dalam Internationalliving.com.

Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, katanya negara menawarkan lebih 200 acara menarik termasuk perarakan warna-warni, karnival, festival, Karnival Jualan Mega Malaysia dan Perarakan Malam Flora Pelancongan Antarabangsa Malaysia.

Beliau berkata Malaysia akan terus makmur dan akan menjana banyak faedah untuk rakyatnya daripada industri pelancongannya yang berdaya maju. - BERNAMA

Artikel Lain