suria

Ketua Audit Negara Tegur Penjawat Awam Kanan Gagal Lakukan Siasatan Dalaman

PETALING JAYA: Ketua Audit Negara telah menegur penjawat awam kanan yang gagal melakukan siasatan dalaman walaupun selepas mengenal pasti sesuatu yang mencurigakan dalam perbelanjaan jabatan dan agensi mereka.

Tan Sri Ambrin Buang berkata, beliau menjangkakan tindakan penambahbaikan segera diambil oleh ketua jabatan dan agensi sebaik saja mereka dimaklumkan oleh Jabatan Audit Negara.

"Mereka (ketua jabatan dan agensi) boleh memulakan siasatan sendiri jika mereka mengesyaki sesuatu yang tidak kena, berdasarkan laporan kami," katanya kepada The Star.

Ambrin berkata, isu lain adalah sama ada tindakan punitif diambil terhadap sesiapa yang melanggar peraturan seperti yang dinyatakan dalam laporan audit terdahulu adalah mencukupi.

"Jika pesalah itu hanya diberi amaran lisan dan bukannya secara bertulis, ia akan memberi bayangan bahawa mereka tidak akan berdepan masalah dari segi kenaikan gaji, pangkat dan sebagainya,” katanya.

Ambrin berkata tindakan penambahbaikan segera yang dijalankan oleh ketua jabatan diiktiraf sewajarnya dalam laporan audit tahunan itu.

"Kita juga menjangkakan tindakan punitif diambil melibatkan kes serius yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan seperti bayaran yang tidak wajar, pemalsuan, penipuan dan pecah amanah," kata Ambrin.

Ketika agensi perlu melakukan berusaha keras untuk menangani kelemahan mereka, Ambrin berkata orang ramai tidak seharusnya hanya melihat setiap isu yang dibangkitkan dalam laporan audit semestinya melibatkan rasuah.

"Mengharapkan laporan Audit bebas daripada mana-mana pemerhatian penyelewengan atau kelemahan juga tidak realistik," katanya.

Ketika ditanya kerajaan harus menubuhkan 'Putrajaya Inquisition' untuk menjelaskan semua isu yang tidak dapat diselesaikan dalam laporan Ketua Audit Negara, Ambrin berkata jabatanya masih mengkaji cadangan itu dan akan mempertimbangkannya jika ia diperlukan.

Artikel Lain