suria

Jakim Lantik Dua Tokoh Agama Sebagai Felo Fatwa

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Agama Islam (Jakim) pada Rabu mengumumkan pelantikan dua ulama sebagai tokoh utama 'Felo Fatwa', iaitu sebuah unit khusus yang baru ditubuhkan bagi menjawab dan memberi penjelasan mengenai isu semasa berkaitan Islam menerusi media baharu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata Dr Mohd Farid Mohd Shahran dan Lokmanul Hakim Husin dilantik sebagai Felo dalam unit itu, yang boleh diakses secara online pada bila-bila masa.

Beliau berkata tugas utama mereka ialah membantu Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan meneliti isu hukum yang bersifat segera dan semasa serta membimbing masyarakat mengenai persoalan hukum hakam yang banyak tersebar di media baharu dengan lebih cepat dan berkesan melalui saluran media terkini.

Menurutnya selain berlatar belakang kepakaran dalam bidang syariah dan akidah, dua tokoh itu juga dibantu pakar Teknologi Maklumat (IT) untuk menampilkan perkhidmatan yang lebih berkesan buat orang ramai, tanpa mengira agama, di dalam mahupun luar negara.

"Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin akan sentiasa berinteraksi, berkomunikasi dan memantau felo ini," katanya dalam persidangan media selepas majlis penyerahan surat pelantikan Felo Fatwa dan perjumpaan dengan Pegawai-pegawai Tadbir Agama Daerah (PTAD) di Dewan Syura Jakim di sini.

"Pelantikan mereka ini dipersetujui oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, dan Jakim bertindak merealisasikannya dari segi perjawatan, di samping memberi kemudahan dari segi pentadbiran untuk membantu felo ini bergerak," kata Jamil Khir.

Beliau berkata di peringkat permulaan, interaksi dengan felo ini boleh di buat menerusi portal e-fatwa, di samping facebook serta twitter, dan menurutnya Jakim juga sedang merancang untuk mewujudkan perkhidmatan secara bersemuka di masa depan, dengan orang ramai boleh datang sendiri berjumpa dengan tokoh berkenaan untuk mengemukakan sebarang persoalanan.

Terdahulu dalam ucapannya di majlis itu Jamil mengumumkan Jabatan Perkhidmatan Awam meluluskan untuk menaik taraf gred perjawatan PTAD di 10 negeri, dengan 37 jawatan dinaik taraf daripada gred S44 kepada S48, dan 55 jawatan dinaik taraf dari gred S41 ke S44.

Beliau berkata usaha menaik taraf gred perjawatan PTAD di Perlis, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak masih dalam proses kajian. - BERNAMA

Artikel Lain