suria

Isu Hangat Pada Pemilihan Umno

UMNO akan mengadakan pemilihan terbesar dalam sejarah parti berusia 67 tahun ini dengan 146,000 perwakilan akan mengundi bagi memilih pucuk kepimpinan baru di peringkat pusat dalam tempoh 10 hari lagi.

Pada 12 Oktober, perwakilan akan mengundi calon di peringkat pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno manakala 19 Oktober, pemilihan di peringkat bahagian, ahli Majlis Tertinggi dan jawatan Naib Presiden.

Ia akan menjadi pemilihan pertama selepas pindaan dilakukan terhadap perlembagaan parti pada 2009 yang membenarkan lebih ramai perwakilan mengundi kepimpinan baharu.

Sebelum sistem baru ini dilaksanakan, pemilihan hanya melibatkan kira-kira 2,500 perwakilan dari peringkat bahagian, sayap dan Umno Pusat.

Beberapa soalan dan jawapan (S & J) di bawah akan membantu menjawab isu hangat pada pemilihan parti kali ini.

S: Apakah kepentingan pemilihan Umno pada kali ini?

J: Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, kedua-duanya menang tanpa bertanding tetapi tiga jawatan naib presiden dan 25 ahli Majlis Tertinggi sedia untuk direbut. Sebarang rombakan Kabinet pada masa hadapan akan mengambil kira barisan kepimpinan baharu ini. Keputusan perebutan jawatan Naib Presiden akan menentukan pemimpin Umno pada masa hadapan.

S:Berapa ramai perwakilan mengundi dalam pemilihan ini?

J: Pada 12 Oktober, kira-kira 70,000 perwakilan akan mengundi pada pemilihan Pemuda Umno; 100,000 (Wanita) dan 50,000 (Puteri). Mereka akan mengundi calon di peringkat bahagian dan pusat.

Pada 19 Oktober, kira-kira 146,500 perwakilan akan mengundi pemimpin di peringkat bahagian, ahli Majlis Tertinggi dan tiga Naib Presiden.

S: Bagaimana perwakilan untuk mengundi dipilih?

J: Mereka dipilih menerusi mesyuarat di peringkat bahagian masing-masing yang diadakan bermula Julai hingga September.

S: Dimana mereka akan mengundi?

J: Pengundian akan diadakan di kesemua 191 Bahagian Umno.

S: Bagaimana dan dimana kertas undi akan dikira?

J: Pengiraan undi akan dilakukan oleh jawatankuasa pemilihan di setiap bahagian.

Mesin kira undi akan digunakan untuk penjumlahan undi.

Keputusan akan disahkan oleh juruaudit yang dilantik oleh parti.

Kira-kira 35,000 ahli dan sukarelawan di seluruh negara akan membantu melancarkan proses pengundian dan pengiraan undi.

Artikel Lain