suria

Hospital USM Diarah Hapus Tikus Dengan Segera

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan mengarahkan pihak pengurusan Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) untuk mengambil tindakan segera bagi menghapuskan tempat pembiakan tikus di kompleks 12 tingkat yang terletak di Kota Baru itu.

Timbalan Menteri, P. Kamalanathan berkata, kebanjiran tikus sepatutnya tidak berlaku dan langkah-langkah sewajarnya perlu diambil bagi menyelesaikan masalah ini dan memastikan ia tidak berulang.

"Saya amat terkejut dan bimbang bahawa masalah seperti itu berlaku dan tidak diselesaikan.

"Satu penyelesaian yang pro-aktif perlu dilaksanakan," katanya merujuk kepada serangan haiwan perosak yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Kamalanathan berkata, pihak kementerian akan sentiasa melakukan pemantauan untuk memastikan masalah itu akan diselesaikan.

"Kami akan meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan majlis perbandaran negeri," katanya.

Ketua Pemuda MCA Kelantan, Gan Han Chuan turut membidas pihak pengurusan hospital terbabit kerana memandangkan ringan masalah itu.

Beliau berkata, kampus kesihatan itu dikenali di peringkat antarabangsa dan masalah itu perlu diselesaikan segera.

"Jika tidak imej hospital itu akan terjejas dan ia akan menjadi bahan jenaka di kalangan pengamal perubatan," katanya.

Gan mempertikaikan sikap pihak pengurusan hospital kerana tidak melakukan sesuatu untuk menangani masalah itu dengan berkata:“Sudah pasti, mereka menerima aduan mengenai kebanjiran tikus di kawasan itu daripada orang awam.

Artikel Lain