suria

Sarjan Dipenjara Empat Tahun, Denda RM20,000 Kerana Suapan RM3,500

SHAH ALAM: Seorang anggota polis berpangkat Sarjan dihukum penjara empat tahun dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah memperoleh suapan RM3,500 daripada seorang lelaki pada Julai tahun lepas.

Hakim M.Bakri Abd Majid menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pembelaan Mohamad Zamani Yahya, 44, hanya untuk disuai padan dengan kes pendakwaan dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sembilan bulan jika gagal membayar denda.

Dalam penghakimannya, M.Bakri berkata sebagai anggota pasukan keselamatan, Mohamad Zamani sepatutnya memberi perkhidmatan kepada orang ramai tanpa meminta rasuah.

"Tindakan tertuduh bukan sahaja mencemarkan namanya malah turut mencemarkan imej anggota keselamatan lain. Hukuman setimpal perlu dijatuhkan bukan sahaja untuk menjadi pengajaran kepada tertuduh malah kepada bakal pesalah lain," katanya.

Mohamad Zamani, yang ketika kejadian bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Petaling Jaya, didakwa memperoleh suapan daripada Erwanfazli Malek, 33, sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas adik Erwanfazli, Mohd Firdaus, 28, kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta melepaskan kenderaan jenis Proton Wira 1.8 bernombor pendaftaran WFJ 5991 milik Erwanfazli.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPPD Petaling Jaya di Menara Choy Fook On, Jalan Yong Shook Lin dekat sini, pada kira-kira 5.40 petang 12 Julai 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan permohonan Mohamad Zamani bagi menanguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi namun menolak permohonan tertuduh untuk menangguhkan pembayaran denda.

M.Bakri turut menaikkan jumlah jaminan ke atas Mohamad Zamani daripada RM5,000 kepada RM8,000 dengan seorang penjamin.

Sepanjang perbicaraan, sejumlah 10 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan memberi keterangan.

Terdahulu, peguam C.N.Sritharan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan atas alasan anak guamnya menanggung seorang isteri dan lima anak dengan yang sulung di tahun pertama universiti.

Beliau berkata anak guamnya, yang sudah berkhidmat selama 25 tahun dengan Polis Diraja Malaysia, juga merupakan pesalah pertama.

Pegawai Pendakwa dari SPRM Mahamad Sukri Seman pula berkata hukuman setimpal perlu dijatuhkan ke atas tertuduh memandangkan rasuah merupakan kesalahan utama di negara ini dan dipandang serius oleh kerajaan.

Beliau berkata dalam kes itu, pengadu (Erwanfazli) menjadi mangsa atas kesalahan orang lain dan tertuduh bertindak mengeksploitasi keadaan. - BERNAMA

Artikel Lain