suria

Polis Berkas Dua Lelaki Larikan Lori Muatan Kelapa Sawit

JOHOR BARU: Polis berjaya menemui semula sebuah lori bersama muatan buah kelapa sawit seberat 32 tan, yang dilarikan dua lelaki di kawasan Seri Alam di sini, selepas memberkas mereka di Ledang, dua hari lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata usaha menjejaki kedua-duanya dilakukan selepas polis menerima satu laporan mengenai kehilangan lori itu oleh pemiliknya pada pukul 8.06 pagi, hari yang sama.

"Mangsa meletakkan lori terbabit di Jalan Gunung 32, Bandar Seri Alam, di sini, kira-kira pukul 6.30 petang sehari sebelum itu.

"Dia menyedari kehilangan kenderaan terbabit pada pukul 7.30 pagi keesokannya lalu melaporkannya kepada polis," katanya kepada pemberita, di sini, Selasa.

Mohd Mokhtar berkata kedua-dua suspek yang berumur 18 dan 30 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah.

Mereka kini ditahan reman sehingga Jumaat ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A kanun yang sama, katanya. - BERNAMA

Artikel Lain