suria

Pengerusi DAP Melaka Letak Jawatan

MELAKA: Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San meletak jawatan sebagai ketua pembangkang negeri pada Selasa ketika kemelut dalaman parti semakin meruncing.

Goh berkata keputusan itu dibuat sebagai bantahan campur tangan kepimpinan pusat dalam isu-isu tempatan termasuk Jonker Street dan kerjasama DAP negeri dengan Ketua Menteri Datuk Wira Idris Haron.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bachang, Lim Jak Wong, turut mengikut jejak langkah Goh berundur dari jawatannya sebagai timbalan pembangkang negeri itu.

Goh mendakwa kepimpinan Pusat cuba menyingkirkannya sebagai pengerusi DAP negeri susulan kritikan terbuka terhadap kepimpinan beliau oleh dua Adun DAP yang dipercayai penyokong kuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Kedua-dua Adun itu adalah Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh) dan Lai Kim Ban (Kota Laksamana)

"Saya tidak boleh lagi bertolak ansur. Saya akan mendedahkan jika terdapat sebarang cubaan untuk menjatuhkan saya secara tidak adil dan tanpa bukti kukuh," kata Goh yang juga Adun Duyong.

Beliau berkata, sudah berputus asa dan hilang sabar dengan beberapa kepimpinan pusat kerana campur tangan dalam hal ehwal parti itu di negeri ini.

Artikel Lain