suria

Pelajar Tingkatan Satu Lemas Ketika Mandi Di Sungai Tembeling

JERANTUT: Seorang pelajar lelaki tingkatan satu lemas semasa mandi bersama 10 rakannya di Sungai Tembeling pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Jerantut Supt Azid Ismail berkata mayat Mohd Firdaus Sabarudin, 13, ditemui kira-kira 100 meter dari tempat mangsa dilaporkan lemas pada 5.45 petang.

"Mayat mangsa ditemui pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota bomba dan penyelamat Jerantut, Jabatan Pertahanan Awam, polis Marin dan penduduk kampung.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat dan keluarga mangsa juga sudah dimaklumkan," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau berkata sebelum itu, mangsa yang tinggal di Padang Piol menaiki motosikal bersama rakannya yang berusia lingkungan 13 hingga 15 tahun ke tempat kejadian untuk mandi.

Katanya, semasa mandi tiba-tiba lima daripada mereka, termasuk mangsa lemas, bagaimanapun empat lagi berjaya diselamatkan rakan lain. - BERNAMA

Artikel Lain