suria

PDRM Lancar Ops Cantas Khas Wanita, Fokus Pelajar Sekolah, Suri Rumah

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Ops Cantas Khas Wanita yang dikendalikan pegawai dan anggota polis wanita bagi mendekati golongan pelajar sekolah menengah dan suri rumah daripada dipengaruhi anasir kongsi gelap.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Abd Jalil Hasan berkata Ops Cantas Khas Wanita itu dilancar pada Isnin di seluruh Lembah Klang, bagi memudahkan polis mendekati pelajar berkenaan sekali gus membanteras pengaruh kongsi gelap.

Beliau berkata terdapat maklumat mengenai cubaan kongsi gelap merekrut pelajar perempuan untuk menyertai mereka dengan menawarkan habuan berupa wang ringgit.

"Kita terima maklumat ada cubaan kongsi gelap seperti geng 36, 08 dan 04 untuk rekrut ahli baharu terutama budak sekolah, jadi kita cantas awal," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Ops Cantas Khas Wanita di Jalan Rejang, Wangsa Maju, di sini Selasa.

Abd Jalil berkata selain itu pegawai dan anggota polis wanita itu juga turut berperanan mendekati golongan suri rumah serta memberi penerangan mengenai langkah pencegahan jenayah dan keselamatan.

Beliau berkata buat permulaan Ops Cantas Khas Wanita ini hanya diperkenalkan di sekitar Lembah Klang sebelum ia diperluaskan ke kawasan kontinjen negeri.

Menurut Abd Jalil, Ops Cantas Khas wanita ini juga akan beroperasi di sebelah siang dengan memberi fokus kawasan sekitar perumahan dan sekolah menengah yang berpotensi menjadi sasaran kongsi gelap.

"Saya amat berpuas hati selepas Ops Cantas dilancarkan 17 Ogos lepas, polis berjaya mengurangkan kadar jenayah kekerasan sebanyak sembilan peratus manakala penurunan enam peratus bagi jenayah harta benda. Ini sesuatu yang membanggakan," katanya.

Ditanya mengenai tangkapan membabitkan pelajar sekolah menengah dalam Ops Cantas Khas sejak ia dilancar 53 hari lalu, Abd Jalil berkata terdapat beberapa pelajar yang telah ditahan dan kes dirujuk kepada pihak sekolah dan ibu bapa.

Beliau berkata penglibatan ibu bapa dan guru perlu digembleng bersama-sama bagi memantau pergerakan anak-anak mereka daripada terlibat dengan aktiviti kongsi gelap. - BERNAMA

Artikel Lain