suria

Mesyuarat Tiga Pihak Bincang Masalah Jerebu Dibatal

BANDAR SERI BEGAWAN: Mesyuarat tiga pihak yang dijadual berlangsung di sini pada Rabu untuk membincangkan masalah jerebu rentas sempadan, dibatalkan.

Pada mulanya, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong dijadual mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan beliau dari Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono sebelum bermulanya Sidang Kemuncak Asean ke-23 dan sidang kemuncak berkaitan pada Rabu pagi.

Bagaimanapun, seorang pegawai berkata mesyuarat itu terpaksa dibatalkan kerana masalah jadual memandangkan banyak mesyuarat lain akan berlangsung antara Asean dan rakan dialognya dalam tempoh dua hari akan datang.

Sementara itu, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata antara isu penting yang dijangka dibincang pada sidang kemuncak itu ialah Rangka Tindakan Ekonomi Asean, yang memberi fokus terhadap usaha mempermudahkan pergerakan pekerja profesional dan mahir serta barangan dan kenderaan di rantau ini.

Dalam kenyataan dikeluarkan Wisma Putra di sini Selasa, beliau berkata negara anggota dijangka menerima pakai deklarasi mengenai 'Wawasan Pasca 2015 Komuniti Asean' yang memberi penekanan terhadap persetujuan bersama 10 negara anggota Asean untuk melaksanakan proses ke arah mencapai wawasan itu.

"Inisiatif ini bertujuan menjadikan Asean lebih bersepadu dari segi ekonomi serta lebih berdaya saing dan responsif terhadap isu global," katanya.

Mengenai isu serantau dan antarabangsa, Anifah berkata sidang kemuncak itu dijangka membincangkan persoalan berkaitan Laut China Selatan dan keadaan di Timur Tengah, termasuk Syria dan Palestin.

Katanya pada Sidang Kemuncak Asean Campur Satu, Malaysia akan memberi penekanan tentang kemajuan dan kerjasama dalam bidang seperti pembanterasan keganasan, pengurusan bencana, kesiapsiagaan dan respons terhadap penyakit pendamik, keselamatan maritim, jenayah rentas sempadan, perdagangan dan pelaburan.

Pada siang kemuncak dua hari itu, Najib dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatannya dari China Li Keqiang, Perdana Menteri Vietnam Nguyen Tan Dung dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Ban Ki-Moon.

Di samping Sidang Kemuncak Asean bersama rakan dialog terdiri daripada China, Korea Selatan, Jepun, India, Australia, New Zealand dan Russia, Sidang Kemuncak Asean-Amerika pertama juga akan diadakan di sini. - BERNAMA

Artikel Lain