suria

MAS Rai Ulang Tahun Ke-41 Dengan Aktiviti Sepanjang Bulan

KUALA LUMPUR: Syarikat penerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) telah merencanakan aktiviti sepanjang bulan bersama-sama kakitangannya sempena ulang tahunnya yang ke-41.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Jauhari Yahya berkata syarikat penerbangan itu, dikenali seluruh negara kerana sifat eksklusifnya, akan meraikan ribuan kakitangan MAS yang telah sama-sama bekerja keras untuk menjayakan 'Malaysian Hospitality'.

"Perjalanan kami bermula pada tahun 1972 apabila nama syarikat penerbangan menjadi MAS dan cabarannya telah tersedia untuk melonjakkan nama negara di seluruh dunia dan seterusnya menjadi kebanggaan semua.

"Hari ini (Selasa), MAS menyambut ulang tahunnya yang ke-41. Dalam dunia penerbangan, berada dalam perniagaan dalam tempoh sepanjang ini, adalah satu pencapaian besar," kata beliau dalam satu kenyataan.

Bagi memperingati sambutan ini, syarikat penerbangan itu telah membawa kakitangannya menonton tayangan khas 'Tanda Putera' di Akademi MAS di Kelana Jaya.

Ahmad Jauhari berkata filem itu mengandungi banyak bahan bersejarah berkaitan dengan syarikat penerbangan itu.

Syarikat penerbangan itu juga akan menganjurkan beberapa siri aktiviti melibatkan kakitangannya selama sebulan, termasuklah Hazard Hunt dan sesi makan malam.

Sejak beroperasi sebagai MAS pada 1 Oktober 1972, syarikat penerbangan itu telah terbang ke lebih 100 destinasi dan berjaya mengukuhkan jenamanya dalam industri penerbangan untuk perkhidmatan cemerlang dan keselamatan penerbangan. - BERNAMA

Artikel Lain