suria

Mahkamah Tolak Rayuan Chong Eng

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan pada Selasa mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Lalang, Chong Eng membayar ganti rugi RM200,000 kepada konduktor muzik warga British, Mark Ignatius Uttley @ Mark Ostyn kerana mengeluarkan kata-kata berunsur fitnah berkaitan pemuzik itu kepada pemberita pada 1998.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus sebulat suara menolak rayuan Chong Eng dan memerintahkan beliau membayar RM10,000 sebagai kos perundangan kepada Uttley.

"Kami mendapati rayuan ini tidak mempunyai merit," kata Hishamudin yang bersidang bersama-sama Datuk Aziah Ali dan Datuk Hamid Sultan Abu Backer.

Pada 16 Mei 2011, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin memutuskan Chong Eng bertanggungjawab secara langsung mengeluarkan kata-kata memfitnah Uttley dalam artikel yang disiar beberapa akhbar.

Mahkamah Tinggi turut memerintahkan Chong Eng membayar faedah empat peratus setahun bermula dari tarikh writ saman dikeluarkan pada 1999.

Uttley, bekas konduktor residen Orkestra Simfoni Negeri Pulau Pinang dan Korus, menyaman Chong Eng kerana mengeluarkan kata-kata fitnah berkaitan kelayakan akademik beliau yang ditutur kepada pemberita ketika menjadi Adun Batu Lanchang.

Kata-kata Chong Eng disiar beberapa akhbar pada 10, 17 dan 23 Jun 1998.

Chong Eng diwakili peguam Karpal Singh manakala Uttley oleh Datuk V Sithambaram. - BERNAMA

Artikel Lain