suria

Ketua Pemuda Gerakan Kedah, P.Pinang Bersaing Rebut Jawatan Ketua Pemuda Parti

ALOR SETAR: Ketua Pemuda Gerakan Kedah, Tan Keng Liang akan bertanding jawatan Ketua Pemuda parti yang akan dikosongkan oleh Datuk Lim Si Pin dalam pemilihan pada 25 Oktober ini.

Pesaing beliau merupakan Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong, yang turut mengumumkan akan bertanding bagi jawatan itu.

Tan, 36, bertanding bagi jawatan itu pada 2008 tetapi tewas kepada Lim dalam pertandingan tiga penjuru.

Calon lain ialah Ketua Pemuda Gerakan Negeri Sembilan, Chai Tek Loong.

"Saya telah membuat keputusan untuk bertanding sekali lagi selepas berunding dengan pemimpin-pemimpin parti dan akar umbi sejak dua bulan yang lalu. Mereka mahu perubahan dalam sayap parti," kata Tan pada sidang media di sini Isnin.

Lim, yang telah memegang jawatan tersebut selama satu penggal mengumumkan kepada media bahawa beliau tidak akan menawarkan diri untuk bertanding semula.

Walaupun pemilihan parti diadakan setiap tiga tahun, Gerakan menangguhkannya berikutan pilihan raya umum yang akan mengakibatkan Lim memegang jawatan itu selama lima tahun.

Tan berkata, beliau berharap untuk menggalakkan penggunaan media sosial sebagai medium untuk menarik lebih ramai golongan muda kepada parti dan Barisan Nasional.

"Kita perlu menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter untuk menangkis semua dakwaan palsu yang disebarkan melalui Internet," katanya.

Sementara itu, Oh yang dihubungi berkata, beliau akan membentangkan visi dan rancangan untuk parti itu tidak lama lagi.

Artikel Lain