suria

Keanggotaan NUCC Dimuktamadkan Akhir Minggu Ini - Joseph Kurup

KUALA LUMPUR: " Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC), yang telah diluluskan Kabinet, akan memuktamadkan keanggotaannya menjelang akhir minggu ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup.

Beliau berkata majlis itu mengandungi 30 anggota.

"Kita perlu berhati-hati apabila memilih anggota dalam majlis ini bagi memastikan mereka berfikiran terbuka, menghormati orang lain dan bersikap tolak ansur," katanya kepada pemberita selepas merasmikan "My Hero Award" anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI) di sini Selasa.

Beliau berkata keanggotaannya akan dipilih daripada individu yang berpengalaman luas dalam perkara (perpaduan nasional), ahli akademik, tokoh wanita, belia dan ahli politik.

Selain itu lima jawatankuasa kerja akan diwujudkan bagi meneliti pelbagai isu termasuk aspek perundangan dan program bina negara bagi memupuk dan mengukuhkan perpaduan rakyat Malaysia.

NUCC dijangka dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum akhir tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain