suria

Harga Rumah PPR Dikekalkan - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata harga rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dikekalkan untuk memastikan golongan sasaran mampu memiliki kediaman sendiri.

Perdana Menteri berkata demikian dalam akaun Twitter beliau bagi mengulas laporan berita berhubung langkah kerajaan tidak bercadang menaikkan harga rumah PPR.

Semalam, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata walaupun harga semasa rumah PPR adalah kadar lama, kerajaan buat masa ini akan terus mengekalkan harga itu. Katanya langkah itu sejajar matlamat untuk membantu golongan berpendapatan rendah memiliki kediaman.

Sebelum itu, dalam tweet pada Selasa, Najib berkata pencapaian Siti Hawa Apandi, 24, membuktikan bahawa kecacatan fizikal bukan penghalang bagi mencapai impian. Dalam tweet itu juga disertakan pautan artikel bertajuk 'Pelajar Yang Memenangi Anugerah: Dia membuktikan dengan berkerusi roda bukan penghalang untuk memperoleh ijazah'.

Siti Hawa, yang menghidap penyakit 'Spinal Muscular Atrophy', gangguan genetik yang melemahkan dan merosakkan fungsi otot menerima Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kejuruteraan Perisian) dalam konvokesyen kelapan Universiti Malaysia Pahang (UMP) Sabtu lepas.

Beliau juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Heitech yang diberikan kepada pelajar cemerlang dari Fakulti Sains Komputer. - BERNAMA

Artikel Lain