suria

Apec Perlu Beri Tumpuan Kepada R&D Dalam Jaminan Makanan - PM

NUSA DUA (BALI): Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah mengingatkan forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) supaya memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta inovasi dalam jaminan makanan bagi menghadapi persaingan peringkat global.

Tumpuan kepada R&D itu juga dapat meningkatkan kesejahteraan masyarakat petani, kata beliau.

Perdana Menteri memberi contoh industri kelapa sawit yang produktiviti dari segi pengeluaran hasil tidak meningkat begitu ketara berbanding dengan pesaingnya iaitu kacang soya.

"Kalau kita tidak menambahkan R&D dan meningkatkan pengeluaran hasil, dalam persaingan nanti minyak kelapa sawit akan menghadapi tekanan dan mungkin tidak akan dapat pasaran lebih besar berbanding pesaingnya," kata beliau.

Najib berkata demikian semasa intervensi pada sidang Kemuncak Apec 2013 di sini yang bertemakan 'Daya Tahan Asia Pasifik, Enjin Pertumbuhan Global'.

Sidang kemuncak Apec ke-21 itu berakhir hari ini dengan menghasilkan tujuh ketetapan termasuk persetujuan supaya jumlah perdagangan dalam kawasan Apec dapat terus pertingkatkan lagi bagi membawa ekonomi Apec untuk terus berkembang.

Selain menghadiri Sidang Kemuncak Apec 2013, Perdana Menteri turut menghadiri Mesyuarat Para Pemimpin Perkongsian Trans-Pasifik di sini.

Dalam intervensinya di Sidang Kemuncak Apec itu, Najib turut memberi contoh bagaimana teknologi terkini dalam bidang ternakan udang dapat menambah pengeluaran hasil dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan petani, seperti hasrat sebuah syarikat dari Amerika Syarikat, Darden, yang bercadang melabur dalam bidang penternakan udang kara di Semporna, Sabah.

Darden, kata Perdana Menteri merupakan syarikat swasta yang menggunakan teknologi terkini dalam bidang penternakan itu, dan jika projek berkenaan dapat dilaksanakan, akan memberi faedah bukan sahaja dari segi peningkatan eksport udang kara ke Amerika Syarikat malah masyakarat tempatan yang terlibat mengeluarkan udang kara itu juga akan memperoleh pendapatan yang lebih tinggi.

Contoh lain yang diberikan Najib ialah bagaimana petani dapat meluaskan pasaran hasil pertanian mereka di peringkat global dengan menggunakan internet.

Beliau berkata seorang ibu tunggal di Sabah telah berjaya melipat gandakan pendapatannya bila dapat memasarkan produk rumpai laut yang dihasilkannya itu melalui kemudahan sambungan perkhidmatan internet. - BERNAMA

Artikel Lain