suria

Pemilihan Umno: 1,703 Perwakilan Muflis, Tidak Layak Mengundi

KUALA LUMPUR: Seramai 1,703 daripada 146,000 perwakilan diisytihar muflis dan tidak layak untuk mengundi pada pemilihan Umno kali ini.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata, perkara itu selaras dengan fasal 8.4 peraturan persidangan yang termaktub dalam perlembagaan parti dan peraturan yang ditetapkan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Bagi mereka yang didapati muflis dibawah peraturan yang diluluskan pendaftar pertubuhan, mereka tak boleh dipilih, memilih dan mengundi selain di peringkat cawangan," katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.

Abdul Rauf berkata, surat untuk memaklumkan mereka (perwakilan) mengenai perkara itu akan dihantar melalui Umno peringkat Bahagian secepat mungkin.

"Kita akan hantar surat makluman secepat mungkin sebelum hari pemilihan. Mereka sudah tahu mengenai perkara ini," katanya.

Beliau berkata, bagi ahli yang dikenakan tindakan di bawah akta pertubuhan, mereka hilang hak untuk hadir dan mengambil bahagian pada persidangan sebelum cukup lima tahun keluar penjara atau dikenakan denda.

Artikel Lain