suria

Malaysia-Australia Bincang Kerjasama Selesai Masalah Pencari Suaka

NUSA DUA (Bali): Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berkata, Malaysia dan Australia sepakat untuk berbincang lanjut mengenai kerjasama yang boleh dimainkan Malaysia bagi membantu mengatasi masalah pencari suaka yang dihadapi negara itu.

Perkara itu dicapai dalam perbincangan dua hala antara Najib dan rakan sejawatannya dari Australia Tony Abbott di luar Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) 2013 di sini Isnin.

"Saya dan Perdana Menteri Australia memutuskan supaya kedua-dua menteri yang berkenaan dari Malaysia dan Australia merundingkan perkara ini untuk menentukan bagaimana kita boleh bantu dalam hal ini," katanya pada sidang akhbar dengan wartawan Malaysia di sini.

Najib yang tiba di sini pada Ahad, sedang mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Pemimpin Apec 2013 yang berlangsung dua hari mulai Isnin.

Perdana Menteri berkata, pencari suaka merupakan masalah besar kepada Australia kerana orang hanyut itu boleh dikatakan menjadi mangsa eksploitasi manusia dan dijadikan sebagai kegiatan pemerdagangan manusia.

Masalah itu, kata Najib, membawa kesan cukup buruk dari segi bilangan manusia yang mati dalam perjalanan serta pembayaran wang dengan jumlah begitu besar kepada mereka yang terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia.

Pihak yang terbabit dalam kegiatan itu juga tidak mementingkan keselamatan para pencari suaka kerana mereka menggunakan bot-bot yang berkeadaan tidak selamat sama sekali, katanya.

Dalam perbincangan itu juga, Najib berkata, Abbott turut memberi gambaran fasa selanjutnya dalam Rancangan Colombo (Colombo Plan) yang akan berbentuk kebalikan Rancangan Colombo (reverse Colombo Plan).

"Colombo Plan selama ini telah membawa pelajar-pelajar dari luar ke Australia, mereka akan mencadangkan supaya dilakukan reverse Colombo Plan di mana pelajar-pelajar dari Australia pula akan belajar di institusi pengajian di Malaysia dan di negara lain supaya mereka lebih menghayati apakah sebenarnya keadaan budaya dan kefahaman yang lebih mendalam tentang cara hidup di Malaysia dan di Asean," katanya.

Mengenai pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri New Zealand John Key, Najib berkata, mereka berbincang mengenai sokongan New Zealand kepada Malaysia untuk mengisi satu daripada kerusi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi penggal 2015-2016 dan hasrat New Zealand untuk bertanding bagi jawatan sama.

"Ini tidak bertentangan sebab Malaysia adalah negara yang mewakili Asia dan Pasifik manakala New Zealand masuk kategori negara-negara lain. Maknanya New Zealand bersaing dengan Turki dan Sepanyol, padahal Malaysia masuk dalam kategori negara-negara Asia Pasifik," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain