suria

Kumpulan Penentang Dalam LDP Lulus Undi Tidak Percaya Terhadap VK LIew

KOTA KINABALU: Disebalik gesaan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya mengutamakan perpaduan, kumpulan penentang dalam Parti Liberal Demokratik (LDP) tetap mengadakan Mesyuarat Khas parti berasingan pada Ahad dan meluluskan undi tidak percaya terhadap Datuk VK Liew sebagai presiden parti.

Perwakilan dalam Mesyuarat Khas diketuai dua pemimpin kanannya senator Datuk Chin Su Phin dan Datuk Teo Chee Kang di Dewan Serbaguna Kian Kok Middle School, dekat ini turut sebulat suara menyokong resolusi diluluskan Majlis Tertinggi pada 10 Sept lepas, untuk menyingkirkan Liew sebagai presiden parti.

Semasa mengumumkan keputusan itu, Pengerusi Mesyuarat Khas LDP Frank Leong berkata perwakilan turut menyokong Chin sebagai pemangku presiden berkuat kuasa serta merta mengikut Perkara 12 (c) perlembagaan parti.

Selain resolusi itu, perwakilan turut meluluskan resolusi lain, termasuk mengesahkan resolusi yang diluluskan Majlis Tertinggi pada 10 Sept untuk menggantung keanggotaan Liew dan setiausaha agungnya yang baharu dilantik Loretto S. Padua, sementara menunggu tindakan oleh jawatankuasa disiplin.

Resolusi lain yang turut disokong adalah berhubung pemecatan dan penggantungan pemegang jawatan dalam majlis tertinggi atau peringkat bahagian sejak 27 Ogos, kononnya oleh presiden parti, adalah ultra vires dan tidak mematuhi perlembagaan parti dan dengan itu adalah tidak sah.

Perwakilan juga bersetuju bahawa semua pelantikan baharu yang kononnya dibuat oleh presiden parti untuk menggantikan pemegang jawatan parti yang dipecat adalah tidak mematuhi perlembagaan parti dan dengan itu pelantikan mereka tidak sah.

Kira-kira 468 perwakilan dari 27 bahagian daripada 31 bahagian di seluruh negeri menghadiri mesyuarat khas itu.

Melahirkan kebimbangannya terhadap krisis kepimpinan dalam parti itu, Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi Barisan Nasional (BN), dipetik sebagai berkata di sini minggu lepas, bahawa beliau telah mengarahkan Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya berbincang dengan pihak-pihak berkenaan sama ada wujud kemungkinan untuk berdamai atau menyelesaikan masalah dan mencapai persefahaman untuk mengatasinya.

Krisis kepimpinan LDP tercetus baru-baru ini selepas Teo yang merupakan setiausaha LDP mengumumkan akan bertanding jawatan presiden.

Liew kemudian memecat Teo kerana didakwa melanggar perlembagaan parti dan gagal mematuhi arahan anggota majlis tertinggi.

Liew dipetik sebagai menegaskan mesyuarat majlis tertinggi pada 9 Jun memutuskan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak akan ditandingi untuk mengelakkan perpecahan dalam kalangan anggota, dan minit mesyuarat direkodkan oleh Teo, yang juga Menteri Tugas-tugas Khas di Jabatan Ketua Menteri.

-BERNAMA

Artikel Lain