suria

Kerajaan Tidak Didesak Tandatangani TPPA - Hamim Samuri

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak didesak oleh mana-mana pihak untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Isnin.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Hamim Samuri berkata dalam merundingkan TPPA, kerajaan akan memastikan kepentingan negara dan rakyat tidak terjejas, dan kerajaan tidak akan menandatangani mana-mana perjanjian sekiranya ia tidak memberi manfaat kepada negara.

"Perjanjian ini masih lagi dirundingkan dan perunding-perunding negara juga telah diberi mandat untuk meneruskan rundingan dengan mengambil kira kepentingan negara, dasar-dasar sedia ada dan Perlembagaan negara.

"Keputusan untuk menandatangani perjanjian ini kelak bergantung kepada analisis menyeluruh sama ada ia akan mendatangkan manfaat atau sebaliknya kepada Malaysia," katanya menjawab soalan Senator Dr Syed Husin Ali di sini.

TPPA, satu perjanjian perdagangan bebas yang sedang dirundingkan oleh 13 negara termasuk Malaysia, merupakan perjanjian yang bertujuan menangani isu-isu dagangan baharu Alaf ke-21.

Hamim berkata isu-isu tertunggak yang masih tidak dapat diselesaikan, termasuk isu berkaitan perolehan kerajaan, hak harta intelek, syarikat milik kerajaan, penyelesaian pertikaian pelabur negara (ISDS), akses pasaran dan alam sekitar.

"Isu-isu ini akan dibincangkan pada Mesyuarat Menteri-menteri TPP pada 5 hingga 7 Oktober dan seterusnya pada Mesyuarat pemimpin TPP di Bali, Indonesia, esok," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain