suria

Dua Lelaki Didakwa Jual Kelengkapan Komunikasi

BUTTERWORTH: Dua lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui pada Oktober tahun lepas.

Tertuduh Choo Kang Wei, 30, dan rakannya Lim Su Jin, 40, didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Seri Bukit Indah, Bukit Mertajam, pada pukul 4.30 petang, 18 Oktober 2012.

Mereka dituduh menjual 17 unit dekoder pelbagai jenama.

Choo dan Lim dituduh di bawah Peraturan 16(1)(b)Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, yang memperuntuk hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Hakim Julie Lack membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Nov untuk sebutan semula kes.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Ahmad Zakhi Mohd Daud. -BERNAMA

Artikel Lain