suria

Tabung Haji Buat Persiapan Rapi Pergerakan Jemaah Ke Padang Arafah - Jamil Khir

KOTA BAHARU: Tabung Haji sudah membuat persiapan rapi bagi pergerakan jemaah haji Malaysia dari Makkah ke padang Arafah, termasuk mereka yang sedang menerima rawatan di hospital, untuk wukuf pada 9 Zulhijjah bersamaan 14 Oktober ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau yang belum memperoleh jumlah terkini jemaah haji yang sedang menerima rawatan di hospital, berkata mereka akan dibawa ke padang Arafah menggunakan ambulans dan kenderaan pesakit.

"Bagi jemaah haji yang berada di hospital, insyaAllah Tabung Haji akan menguruskan pergerakan mereka ke padang Arafah supaya mereka dapat berwukuf kerana syarat utama haji ialah wukuf di padang Arafah. Wukuf di padang Arafah merupakan salah satu rukun haji.

"Mesti hadir di Arafah, maka orang (jemaah) yang terluput waktu dan juga hari untuk (berada) di padang Arafah maka dia terlepas (terkeluar) daripada ibadah haji," katanya kepada Bernama selepas menghadiri sesi pengenalan calon anggota Majlis Tertinggi (MT) dan Exco pergerakan tiga sayap Umno di pejabat Badan Perhubungan Umno Kelantan di sini, Ahad.

Jamil Khir hadir sebagai seorang daripada calon MT.

Beliau berkata bagi jemaah haji yang sihat, Tabung Haji akan mengerakkan mereka ke padang Arafah menggunakan kenderaan yang telah disediakan dan jumlahnya mencukupi.

"InsyaAllah semua persiapan telah berada dalam kemuncak terakhir dan kita mendoakan untuk semua jemaah haji kita sempurna mengerjakan ibadah haji dengan sebaik mungkin," katanya.

Jumlah jemaah dari Malaysia untuk haji musim ini ialah sebanyak 22,320 dan jumlah itu berkurangan 20 peratus berbanding sebelumnya ekoran pengurangan kuota oleh kerajaan Arab Saudi. - BERNAMA

Artikel Lain