suria

Perkasa Saran Laporan Audit GLC Diumum Secara Terbuka

GEORGE TOWN: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyarankan Jabatan Audit Negara mengaudit syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan laporannya diumum secara terbuka bagi mengelak ketirisan perbelanjaan kerajaan kepada syarikat yang boros sehingga menyebabkan kerugian.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata indeks prestasi syarikat berkenaan perlu dipantau dari semasa ke semasa oleh satu jawatankuasa bebas bagi mengesan dan mengenal pasti masalah yang dihadapi pada peringkat awal.

"Memang mereka ada unit audit dalaman sendiri tetapi kita juga mahu tahu perjalanan perbelanjaan syarikat, sama ada menguntungkan, kerana ia melibatkan dana kerajaan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Mesyuarat Tahunan Perkasa Peringkat Negeri Pulau Pinang pada Ahad.

Beliau turut menggesa individu bertanggungjawab mengurus kewangan setiap kementerian yang menunjukkan rekod tidak cemerlang diambil tindakan tatatertib selain dibeku kenaikan gaji dan pangkat.

Dalam perkembangan lain, Ibrahim menggesa kerajaan menjalankan 'pemutihan' terhadap penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dengan memastikan hanya individu yang layak mendapat skim bantuan itu.

Beliau turut mencadangkan satu mekanisme baharu yang berupaya mempertingkat taraf hidup golongan berpendapatan rendah dalam jangka panjang diwujud jika BR1M dimansuh. -BERNAMA

Artikel Lain