suria

Pemilihan Umno: Sesi Pengenalan Calon Perlu Ada Penambahbaikan

Mukhriz
Calon Naib Presiden Umno Datuk Mukhriz Mahathir diperkenalkan kepada perwakilan pada sesi pengenalan calon Majlis Tertinggi dan exco sayap UMNO iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang diadakan di Stadium Indera Mulia di Ipoh, Jumaat. -fotoBERNAMA
Calon Naib Presiden Umno Datuk Mukhriz Mahathir diperkenalkan kepada perwakilan pada sesi pengenalan calon Majlis Tertinggi dan exco sayap UMNO iaitu Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang diadakan di Stadium Indera Mulia di Ipoh, Jumaat. -fotoBERNAMA

IPOH: Beberapa pemimpin Umno yang bertanding bagi beberapa jawatan termasuk Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) dalam pemilihan parti 19 Oktober ini mahu beberapa penambahbaikan dilakukan dalam sesi pengenalan calon.

Sambil menyifatkannya sebagai platform yang baik dan wajar digunakan sepenuhnya, mereka berkata penambahbaikan itu perlu bagi membolehkan mereka mengatur jadual untuk bertemu perwakilan.

Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir yang menawarkan diri bertanding jawatan naib presiden Umno berkata sesi pengenalan ini sangat berguna tetapi jadual sesi pengenalan begitu padat dengan tiga negeri setiap hari menyebabkan pemimpin serta perwakilan berdepan kekangan masa untuk menghadirinya.

"Sambil kita buat peraturan ini (tidak dibenarkan berucap kepada perwakilan) dengan niat untuk mengelak gejala yang tidak diingini, dalam masa yang sama jangan sesekali mengekang peluang calon baharu untuk berjumpa dengan perwakilan, mesti ada imbangan dalam dua perkara ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi pengenalan calon di Stadium Indera Mulia di sini, Jumaat.

Presiden Majlis Belia 4B Malaysia Mua'amar Ghadafi Jamaluddin yang sependapat dengan Mukhriz berkata ruang penambahbaikan perlu dilakukan bagi memberi peluang kepada mereka yang menawarkan diri bertanding pada masa depan bertemu perwakilan.

Beliau yang menawarkan diri bertanding jawatan Exco Pergerakan Pemuda berkata penambahbaikan itu perlu disesuaikan dengan usaha Umno yang sedang melaksanakan transformasi dalam pelbagai aspek termasuk pada pemilihan parti.

"Perlu ada ruang untuk penambahbaikan, supaya ada ruang yang lebih luas buat mereka yang menawarkan diri bertanding untuk berjumpa serta menyatakan hasrat mereka kepada para perwakilan pada masa depan," katanya.

Selepas sesi pengenalan di Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan pada hari ini, sesi berikutnya diadakan di Kelantan, Terengganu dan Pahang, Ahad ini. - BERNAMA

Artikel Lain