suria

Nazri Dalam Misi Pikat Pelancong Ke Malaysia Di Los Angeles

LOS ANGELES: Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dijangka tiba di Los Angeles pada Ahad dalam misi meningkatkan aliran pelancong ke destinasi beli-belah keempat terbaik dunia - Malaysia.

Naib Presiden Tourism Malaysia bagi USA Barat dan Amerika Latin Azilina Azni Zainal Abidin, berpejabat di Los Angeles, dalam kenyataan media diedarkan kepada Bernama menyatakan beberapa tokoh pembuat keputusan dalam industri hospitaliti antara anggota rombongan untuk mewakili Malaysia dalam kempen promosi itu bersama-sama dengan pengusaha pelancongan, wakil media dan peneraju industri di Amerika Syarikat (AS).

Rombongan diketuai Mohamed Nazri dijadual mengadakan perbincangan di samping menjamu mereka dengan pelbagai masakan istimewa Malaysia; tayangan video Tahun Melawat Malaysia (VMY) 2014 dan persembahan kebudayaan oleh kumpulan tarian Malaysia.

Tourism Malaysia Los Angeles juga akan melancarkan laman web baharu pada majlis itu yang akan turut memaparkan keindahan destinasi pantai dan pulau serta pusat peranginan berkelas dunia di Malaysia untuk pelancong dan ahli perniagaan.

Malaysia terkenal sebagai negara yang 'mesra' pelancong bercirikan keunikan masyarakat majmuk dengan pelbagai adat resam.

Juga akan diadakan seminar VMY 2014 dan sidang akhbar serta persembahan kebudayaan pada sebelah malam.

Acara tradisional 'joget lambak' pada majlis itu akan menjadi 'pengikat' hubungan pelancongan dengan USA Barat dalam lawatan rasmi pertama Mohamed Nazri di Amerika Utara dalam usaha memacu industri pelancongan Malaysia ke tahap lebih tinggi.

Hentian seterusnya - Vancouver di British Columbia, Kanada sebelum ke bandar raya New York beberapa hari kemudian dalam misi beliau untuk memastikan Malaysia meraih pendapatan tinggi dalam sektor pelancongan. - BERNAMA

Artikel Lain