suria

MIED Beri Pinjaman Pendidikan Berjumlah RM110 Juta Sejak 1984

KUALA LUMPUR: Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED), entiti milik MIC, telah memberi pinjaman pendidikan kepada kira-kira 9,000 pelajar dengan nilai pinjaman lebih RM110 juta sejak 1984.

Pengerusi MIED yang juga Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan (Infrastruktur) Datuk Seri S. Samy Vellu berkata sehingga kini, MIED berjaya membantu melahirkan 8,000 graduan India melalui pinjaman pendidikannya.

"Hingga kini, MIED menjadi pemberi pinjaman pendidikan swasta yang ulung kepada masyarakat India di Malaysia, yang melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi dalam dan luar negara. "Graduan profesional paling ramai adalah dalam bidang kejuruteraan iaitu seramai 1,795 orang dan bidang perubatan seramai 1,498 orang," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan cek pinjaman pendidikan MIED kepada 419 pelajar dengan jumlah RM3.8 juta di sini, Ahad.

Samy Vellu berkata setiap pelajar hanya layak menerima pinjaman maksimum sebanyak RM50,000 sepanjang pengajian mereka bagi membolehkan institut berkenaan membantu lebih ramai pelajar.

"Setiap pelajar juga perlu sedar bahawa setiap pinjaman yang diberikan perlu dibayar balik. Setiap sen yang dibayar balik akan membantu pelajar lain yang memerlukan seperti mereka juga," katanya.

Sehingga 31 Disember tahun lepas, MIED berjaya mengutip balik pinjaman pendidikan bernilai RM65.6 juta, katanya.

Sementara itu, seorang penerima pinjaman, G.Logambikai, 21, berkata beliau bersyukur mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke Kolej Mahsa dalam bidang farmasi dengan bantuan pinjaman MIED.

Pelajar jurusan perubatan Kolej SEGI, P.Nanntiny, 21, turut melahirkan rasa bertuah kerana terpilih sebagai penerima pinjaman itu, berkata ia dapat membantu meringankan beban keluarganya. -BERNAMA

Artikel Lain