suria

Kod Etika Pemilihan Umno Relevan - Hishammuddin

KLUANG: Penyandang Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kod etika pemilihan Umno kali ini adalah relevan dan tidak menyukarkan calon-calon untuk berkempen.

Beliau berkata, calon-calon dalam pemilihan Umno boleh menggunakan alam siber untuk berkempen tanpa perlu turun ke padang untuk bertemu dengan perwakilan.

"Orang politik jikalau hendak berkempen dia akan mencari cara untuk berkempen. Peraturan (kod etika pemilihan Umno) masih relevan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival 1Mindef di sini, Sabtu.

Kod etika pemilihan itu bertujuan untuk membendung budaya tidak sihat ketika berkempen seperti rasuah, fitnah, menanam kebencian sehingga merosakkan perjuangan parti dan memecah-belah perpaduan, katanya.

Hishammuddin, yang juga Menteri Pertahanan, turut meminta Jawatankuasa Disiplin Umno untuk bertindak jika ada di antara calon-calon yang menggunakan cara-cara tidak sihat untuk berkempen. - BERNAMA

Artikel Lain