suria

Khairy Harap Pemuda Buat Keputusan Betul Demi Perjuangan Parti

BUKIT MERTAJAM: Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyerahkan kepada perwakilan untuk memilih barisan kepimpinan pergerakan itu termasuk ketua Pemuda dan berharap mereka membuat keputusan yang betul demi perjuangan parti.

Beliau berkata keputusan yang akan dibuat pada pemilihan parti 12 Oktober ini adalah satu keputusan yang serius untuk masa depan parti.

"Jangan main-main dengan undi kita. Ini pilihan yang kita buat untuk empat tahun akan datang jadi jangan tersilap pilih kerana masa depan parti akan terjejas," katanya kepada pemberita di sini malam Jumaat.

Beliau ditemui selepas Majlis Bicara Anak Muda di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam di sini.

Turut hadir Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang Shaik Husin Mydin.

Dalam pertandingan jawatan Ketua Pemuda Umno, Khairy berdepan empat pencabar iaitu Ketua Pemuda Umno Cawangan Bendang Baru Langkawi Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi, Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Setiawangsa Irwan Ambak, Penolong Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka Syed Rosli Syed Harman Jamalullail dan bekas Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Abdul Karim Ali.

Sementara itu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata setakat ini beliau berpuas hati dengan cara berkempen semua calon Pemuda yang diadakan dalam suasana kekeluargaan dan terkawal.

"Saya berharap minggu-minggu terakhir berkempen ini calon-calon dapat terus menjaga tertib kerana kita kena tahu rakyat di luar bukan hanya Umno sedang menilai proses pemilihan parti kita.

"Mereka (orang luar) juga bukan hanya mahu melihat keputusan tetapi proses sama ada ia berjalan lancar tanpa cacat cela dengan kegiatan negatif dan Alhamdulillah setakat hari ini saya berpuas hati dengan cara kempen," katanya.

Sementara itu, Khairy berkata Kementerian Belia dan Sukan berharap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk menambah peruntukan kementerian bagi membolehkan lebih banyak program pembangunan untuk belia dilaksanakan.

"Kita sentiasa cakap golongan muda atau belia penting untuk masa depan negara jadi kita perlu jaga dengan baik...jadi harapan kita adalah kerajaan dapat menambah peruntukan" katanya.

Katanya, kementerian faham negara berdepan kekangan kewangan tetapi beliau percaya kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mementingkan usaha memperkasa golongan belia demi pembangunan negara pada masa hadapan.

Pada Majlis itu, Khairy turut menyampaikan cek bantuan pentadbiran berjumlah RM170,000 kepada lima Majlis Belia Daerah di Pulau Pinang.- BERNAMA

Artikel Lain