suria

Jentera PRK Sg Limau Perlu Siap Sedia Walaupun Hadapi Pemilihan Parti - Hishammuddin

KUALA KANGSAR: Umno perlu mempersiapkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau walaupun parti berdepan dengan pemilihan ketika ini, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata ini kerana pertandingan dalam Umno umpama pertandingan dalam keluarga, tetapi di Sungai Limau melibatkan saingan politik sebenar yang perlu dihadapi dengan penuh semangat dan iltizam yang tinggi.

"Ibu Pejabat Umno, Badan Perhubungan Umno Kedah serta sayap-sayap parti walaupun sibuk dengan pemilihan parti, jangan lupa dengan tanggungjawab yang lebih besar iaitu memastikan calon kita menang pada Pilihan Raya Kecil Sungai Limau," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama bahagian-bahagian Umno di Perak di sini, Ahad.

Beliau berkata kemenangan Barisan Nasional (BN) di PRK Sungai Limau amat penting demi memantapkan lagi kedudukan BN di Kedah setelah berjaya merampas kembali negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

"Menambah satu lagi kerusi di Kedah bermakna kita berjaya mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap kemampuan BN untuk mentadbir dan memimpin negeri itu," katanya.

Hishamhmuddin berkata pada perjumpaan hari ini beliau meminta Umno Perak memberi bantuan dan serta sokongan kepada Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir serta jenteranya demi memastikan kemenangan BN di Sungai Limau.

Katanya sumbangan dan sokongan daripada Umno Perak terutamanya dari segi logistik amat penting kerana mereka merupakan negeri terdekat dengan Kedah.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerai kosong susulan kematian penyandangnya Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah pada 26 Sept lepas. Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 pada PRU13, Mei lalu selepas mengalahkan sepupunya Fazillah Mohd Ali dari BN dengan majoriti 2,774 undi. -BERNAMA

Artikel Lain