suria

Malaysia, China Boleh Beri Sumbangan Besar Kepada Agenda Asia - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia-China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Jumaat. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia-China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Jumaat. -fotoBERNAMA
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berucap pada Sidang Kemuncak Ekonomi Malaysia-China di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, Jumaat. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia dan China boleh memberikan sumbangan besar ke arah memacukan agenda Asia dengan meneruskan tradisi kerjasama mereka dalam mengejar cita-cita bersama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Jumaat.

Beliau berkata memandangkan Asia memainkan peranan penting dalam hal-ehwal dunia, keputusan yang dibuat di peringkat negara, dua hala dan serantau akan mempunyai impak mendalam kepada ekonomi global.

"Kita boleh tunjuk menerusi tindakan kita yang pengaruh Asia akan melahirkan keamanan dan kemakmuran - di negara kita, rantau kita dan dunia kita.

"Sama ada mengenai hubungan perdagangan dua hala ataupun usaha antarabangsa untuk membina ekonomi global lebih mapan, kita lebih kuat apabila kita bekerjasama," kata perdana menteri dalam ucaptama di Persidangan Ekonomi Malaysia-China.

Turut hadir ialah Presiden China Xi Jinping. Xi tiba di Malaysia semalam bagi lawatan negara selama tiga hari.

Najib berkata program lima tahun untuk kerjasama ekonomi dan perdagangan yang ditandatangani oleh kedua-dua menteri perdagangan turut menandakan permulaan peringkat baharu hubungan di antara kedua-dua negara.

"Dan ia menetapkan matlamat jelas kepentingan bersama kita: merapatkan hubungan dua hala dan ekonomi; menghasilkan kerjasama kukuh antara kedua-dua negara," kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Program itu akan menyaksikan dagangan dua hala kedua-dua negara mencecah US$160 bilion menjelang akhir tahun kelima.

Najib berkata bidang kerjasama yang diliputi termasuk pertanian, tenaga dan sumber mineral; pembuatan dan kejuruteraan.

Perdana Menteri turut berkata presiden China itu telah berkongsi sentimen sama dengan beliau dan menzahirkan pertemuan mereka menggunakan ungkapan Mandarin, bermakna "sekali jumpa dah rasa macam kawan lama". - BERNAMA

Artikel Lain