suria

Tindakan Akan Dikenakan Terhadap Anggota PDRM Cuai Ketika Bertugas - Zahid

KUALA LUMPUR: Tindakan tatatertib dan surcaj akan dikenakan terhadap mana-mana anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didapati cuai ketika menjalankan tugas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bertujuan untuk memastikan kes kehilangan aset PDRM bernilai RM1.3 juta tidak berulang.

"Masyarakat sedang menanam kepercayaan terhadap pihak polis. Oleh itu, saya tidak mahu imej polis terjejas hanya disebabkan laporan audit itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan kerja dan majlis pelancaran Al-Quran Tafsir Ar-Rahman Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) di sini, Jumaat.

Jelasnya, untuk mengelakkan kes tersebut berulang, prosedur operasi standard (SOP) dalam penjagaan semua senjata api dibawah kawalan PDRM turut akan diperkemaskan.

"Saya yakin polis mempunyai integriti yang tinggi. Saya tidak mahu dalam laporan audit tahun depan, kes sama berlaku," katanya.

Ahmad Zahid tetap mengulangi pendiriannya bahawa kes tersebut bukan disebabkan penyelewengan tetapi kecuaian anggota polis ketika menjalankan operasi.

"Saya tahu kes kehilangan itu bukan disebabkan pecah amanah, bukan penyelewengan dan bukan unsur rasuah tetapi berpunca akibat kecuaian atau kelemahan ketika operasi dijalankan," katanya.

Artikel Lain