suria

PRK DUN Sungai Limau Cabaran Besar Buat Mukhriz

IPOH: Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir menyifatkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Kedah pada 4 November ini merupakan cabaran besar kepadanya selaku menteri besar yang baharu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah itu berkata jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) pasti akan berdepan tentangan sengit memandangkan DU NSungai Limau merupakan kubu kuat PAS.

Beliau berkata BN yang kini mentadbir Kedah ingin membawa pembangunan pesat ke Kedah dan semua itu mudah dilaksanakan sekiranya semua kawasan termasuk DU NSungai Limau berada di bawah BN.

"Gandingan antara dua ini (kerajaan pusat dan negeri) diharapkan membawa pembangunan dan kemajuan bagi negeri Kedah," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi memperkenalkan calon bagi pemilihan peringkat tertinggi Umno di Stadium Indera Mulia di sini, Jumaat.

Ketika ditanya mengenai ciri yang perlu ada pada calon BN untuk merampas kerusi itu, Mukhriz berkata antara faktor penting dalam pilihan raya sama ada kecil atau umum ialah apa yang calon dan BN telah lakukan selama ini.

Pada Jumaat, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan tarikh penamaan calon pilihan raya kecil DUN Sungai Limau pada 23 Oktober dan pengundian 4 November.

Kerusi DUN Sungai Limau yang terletak dalam kawasan Parlimen Jerai kosong susulan kematian penyandangnya Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga bekas Menteri Besar Kedah pada 26 September lepas.

Allahyarham mempertahankan kerusi DUN Sungai Limau yang dimenanginya sejak 1995 pada pilihan raya umum ke-13, Mei lalu selepas mengalahkan sepupunya Fazillah Mohd Ali dari BN dengan majoriti 2,774 undi. - BERNAMA

Artikel Lain