suria

Pembangkang Akan Terus Bantah PCA - Anwar

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat akan terus membantah Akta Pencegahan Jenayah 2013 walaupun pemindaan pemerluasan akta tersebut telah diluluskan di dalam Dewan Rakyat awal pagi Khamis.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat (PR) akan mengadakan bantahan dalam bentuk kempen dan forum bagi membantah undang-undang yang mengembalikan tahanan tanpa bicara ini ditarik semula.

"Kita akan terus membantah walaupun undang-undang ini telah diluluskan.

"Kami akan teruskan di dalam dan luar parlimen, kami akan adakan siri kempen, forum, untuk memberikan pendedahan mengenai betapa terdesaknya kerajaan menggunakan akta ini untuk memerangi jenayah," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Khamis.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata mereka tidak menolak langkah pencegahan jenayah melalui akta itu namun menolak sekerasnya pemindaan dan pemerluasan tahanan tanpa bicara atas alasan memperjuangkan hak asasi manusia.

"Kita pandang serius jenayah mengingkat dan ada penyelesaian dikemukakan oleh Suruhanjaya Diraja penambahbaikan perjalanan dan pegurusan PDRM 2005.

"Saya nak ingatkan Pakatan Rakyat berpendirian undang-undang ini rakus dan disalah gunakan seperti yang berlaku sebelumnya, dan kita akan terus membantah," katanya.

Akta tersebut telah diluluskan dalam Dewan Rakyat awal pagi Khamis setelah melalui proses pindaan bermula awal minggu lalu.

Selepas melalui proses perbahasan selama dua hari, sesi perbahasan yang bermula jam 4.30 petang Rabu bersidang sehingga jam 1 pagi Khamis.

Selain pemipin politik pembangkang, anggota badan pertubuhan bukan kerajaan dari Surra Rakyat malaysia (SUARAM) turut membantah pindaan akta berkenaan.

Artikel Lain