suria

Malaysia Gesa Kerajaan Myanmar Tamatkan Semua Bentuk Keganasan

KUALA LUMPUR: Malaysia menggesa kerajaan Myanmar mengambil langkah yang positif dan konkrit bagi menamatkan semua bentuk keganasan, termasuk pencabulan hak asasi manusia terhadap masyarakat Islam di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia mempunyai keyakinan penuh bahawa kerajaan Myamnar mampu menangani perkara itu dengan adil dan pantas.

Malaysia turut menyambut baik kenyataan kerajaan Myanmar pada 2 Oktober lepas berhubung insiden rusuhan baru-baru ini bahawa ia akan mengheret pesalah ke muka pengadilan dan membina semula kediaman yang dibakar, kata beliau dalam satu kenyataan.

Anifah juga berkata Malaysia amat bimbang dengan insiden keganasan terkini antara masyarakat Islam dan Buddha yang berlaku di sekitar bandar Thandwe di Negeri Rakhine sejak 29 September.

Beliau berkata keganasan terhadap golongan minoriti Islam, yang setakat ini meragut lima nyawa dan menyaksikan beberapa kediaman serta sebuah masjid dibakar, tidak wajar berlaku.

"Malaysia juga gembira apabila Presiden Myanmar, dalam lawatan pertama beliau ke Rakhine dari 1 hingga 3 Oktober lepas, bertemu pemimpin masyarakat Islam dan Buddha bagi meredakan ketegangan serta mengambil langkah bagi menamatkan konflik itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain