suria

Lelaki Cedera Ditembak Ketika Cuba Larikan Diri Daripada Polis

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki, disyaki penjenayah cedera ditembak manakala dua rakannya melarikan diri dalam kejadian di Taman Keladi, di sini malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Khalil Ariffin berkata, dalam kejadian pada 11.45 malam itu, polis terpaksa melepaskan tembakan apabila remaja berkenaan bersama rakannya cuba melarikan diri selepas diarah menyerah diri.

Anggota polis dengan kereta peroda terserempak sebuah kereta dinaiki tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di Taman Sejati Indah dan apabila semakan dibuat, polis mendapati kereta itu pernah diguna dalam kes samun dan rompakan bersenjata.

"Anggota peronda mengarahkan mereka berhenti tetapi lelaki-lelaki itu tidak mengendahkannya malah memecut laju dan polis mengejar mereka kira-kira dua kilometer hingga ke Taman Keladi sebelum melepaskan tembakan yang mengenai bahu suspek," katanya.

Beliau berkata, menyedari rakan mereka terkena tembakan, dua lelaki berkenaan memberhentikan kereta dan melarikan diri.

Hasil pemeriksaan terhadap kereta itu, polis menemui beberapa bilah parang dan senjata tajam di percayai digunakan untuk melakukan samun, katanya.

Khalil berkata, lelaki yang cedera di bahu itu dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.

Polis kini melancarkan gerakan memburu dua lagi suspek dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai dua lelaki terbabit supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain