suria

KBS, Kerajaan Gagal Batalkan Saman RM4.7 Juta

KUALA KUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan kerajaan Malaysia gagal dalam usaha membatalkan saman RM4.7 juta berhubung kontrak untuk membina dan membangunkan kemudahan pusat sukan bermotor di kawasan Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil di sini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hue Siew Kheng pada Jumaat menolak permohonan difailkan KBS dan kerajaan itu pada 29 Ogos lepas.

KBS dan kerajaan juga gagal dalam permohonan mereka untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu sementara menunggu rayuan terhadap perintah pada 29 Ogos itu, selepas Hakim Hue menolak permohonan mereka.

Pada 13 Disember tahun lepas, syarikat pengendali dan pembangun sukan permotoran, Motorsports Knights (M) Sdn Bhd memfailkan saman lebih RM4.7 juta terhadap Perbadanan Stadium Merdeka, KBS dan kerajaan atas dakwaan melanggar kontrak berhubung pembinaan pusat bermotor itu yang dikenali sebagai Integrated Motor Sports Centre (IMSC).

Peguam Mohd Firdaus Mohamood, yang mewakili syarikat itu, memberitahu pemberita bahawa Hakim Hue menolak permohonan kedua-dua defendan berkenaan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah itu selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Beliau berkata, Hakim Hue yang membuat keputusan itu dalam kamarnya menetapkan 15 dan 19 November ini untuk perbicaraan kes tersebut.

Dalam pernyataan tuntutan, syarikat itu mendakwa defendan pertama, Perbadanan Stadium Merdeka telah menganugerahkan kontrak pembinaan IMSC itu kepadanya di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil.

Syarikat itu kemudiannya telah memasuki kontrak yang dikenali sebagai 'Sport Management Agreement' (SMA) bertarikh 18 Julai 2006 bagi pembinaan IMSC, dan syarikat itu mula menjalankan kerja pembinaan dan penyediaan dokumen.

Ia mendakwa perintah pembangunan IMSC juga telah diluluskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertarikh 21 November 2007 dan berikutan itu, ia juga telah memohon beberapa pembiayaan daripada institusi kewangan dengan menggunakan SMA sebagai dokumen sokongan bagi pembinaan IMSC.

Bagaimanapun, tempoh SMA itu tidak menepati syarat kelayakan bagi membolehkan pembiayaan diberikan dan susulan itu, plaintif telah membuat permohonan kepada defendan untuk mengubah tempoh perjanjian dalam SMA berkenaan.

Pada 8 Jun 2009 defendan pertama telah menamatkan SMA itu dan sehingga ke tarikh itu, plaintif telah membelanjakan lebih RM2 juta untuk kos penyediaan dokumentasi dan kerja-kerja awalan pembinaan.

Syarikat itu mendakwa walaupun SMA telah ditamatkan tetapi melalui perbincangannya dengan defendan pertama, plaintif masih boleh meneruskan kerja pembinaan di tapak itu sementara menunggu perjanjian baharu dengan memasukkan terma-terma baru ditandatangani plaintif dan defendan pertama.

Bagaimanapun, pada 31 Julai tahun lepas, defendan pertama melalui peguamnya telah menghantar surat supaya syarikat itu mengosongkan kawasan terlibat.

Sehubungan itu, plaintif memohon deklarasi bahawa wujud kontrak antara plaintif dan defendan pertama berdasarkan janji defendan pertama kepada plaintif selepas SMA ditamatkan.

Ia juga memohon ganti rugi berjumlah lebih RM4.7 juta untuk wang yang dibelanjakan bagi membuat persediaan dan kerja pembinaan yang telah dijalankan di atas tanah itu.

Defendan kedua dan ketiga iaitu KBS dan kerajaan, dalam kenyataan pembelaan mereka menyatakan mereka bukan privi atau pihak dalam kontrak itu.

Defendan pertama dalam kenyataan pembelaannya, menyatakan plaintif tidak melakukan sebarang kerja pembinaan di tapak itu. - BERNAMA

Artikel Lain