suria

Ali Rustam Tetap Bergerak Solo Tawan Hati Akar Umbi

Mohd Ali Rustam.
Mohd Ali Rustam.
Mohd Ali Rustam.

PETALING JAYA: Calon Naib Presiden Umno yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam akan tetap bergerak solo bagi memenangi hati akar umbi menjelang pemilihan parti.

Beliau juga yakin ahli-ahli Umno telah matang untuk menilai bahawa tiada pasukan dalam pertandingan untuk tiga tempat Naib Presiden.

Mohd Ali dalam akhbar Utusan Malaysia pada Jumaat yang dipetik sebagai berkata, keputusan beliau untuk bergerak solo itu kerana percaya sebarang bentuk pasukan dalam pertandingan akan membentuk perpecahan yang tidak diingini dalam Umno.

"Umno tidak membenarkan adanya berpasukan, ini adalah tradisi. Kalau ada kebetulan, orang sebut-sebut, itu tiada masalah. Saya memang bergerak solo dan sudah tentunya ada tiga tempat untuk Naib Presiden.

"Kalau berlakunya berpasukan seperti dahulu adanya Tim Wawasan dan bukan Tim Wawasan, akan berlakunya masalah. Bagaimanapun, saya yakin ahli-ahli Umno sudah matang," katanya.

Menurut Mohd Ali, beliau yakin pertandingan untuk jawatan Naib Presiden dijalankan dengan penuh semangat persahabatan memandangkan kesemua calon-calon jawatan itu mempunyai jasa kepada parti dan kerajaan.

"Saya fikir semua perlu mengambil kira rekod pencapaian. Saya mempunyai rekod pencapaian dalam parti sama ada di peringkat kebangsaan dan juga peringkat antarabangsa. Pencapaian saya di Melaka juga boleh dinilai sama ada dari segi pembangunan Bumiputera ataupun secara keseluruhannya.

"Terpulanglah kepada perwakilan, Pilihlah mana yang terbaik kerana ini adalah proses transformasi, apa yang diputuskan kita akan terima, yang menang jadi pemimpin terbaik, yang tidak berjaya akan menjadi pengikut yang terbaik," katanya.

Pertandingan untuk Naib Presiden Umno menyaksikan pertembungan enam penjuru dengan Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad serta tiga penyandang jawatan itu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Artikel Lain