suria

PR Yakin Pertahan Kerusi DUN Sungai Limau - Anwar

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (PR) yakin mereka akan berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau yang akan diadakan pada 4 November depan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PR akan menyokong siapa juga calon PAS yang akan diletakkan di kerusi berkenaan.

Menurutnya, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebaik sahaja beliau pulang dari Acheh.

"Kerusi (DUN Sungai Limau) itu kerusi PAS. PR akan beri sokongan penuh siapa juga yang akan dipilih oleh PAS.

"Kita yakin dapat pertahankan kerusi itu dengan kenaikan harga minyak dan harga barang sejak kebelakangsn ini," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen pada Khamis.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Khamis menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada 4 November depan semetara tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 23 Oktober ini.

PRK DUN Sungai Limau akan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Tan Sri Azizan Abdul Razak pada 26 September lalu setelah lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) Mei lepas, Azizan yang juga bekas menteri besar Kedah memperoleh 13,294 undi menewaskan sepupunya, Mohd Fazillah Mohd Ali dariBN dengan majoriti 2,774 undi.

Artikel Berikut

Artikel Lain